Thursday, 15 March 2012

Lonely Planet; buku panduan melancong

Oleh Nurul Nafisah Mazlan
am@hmetro.com.my


JIKA berminat melancong, pastikan anda mempunyai ilmu mengenai tempat-tempat yang dikunjungi.
Buku, risalah pelancongan dan televisyen antara sumber yang boleh digunakan untuk menimba ilmu mengenai sesuatu destinasi. 
Lonely Planet antara sumber rujukan yang boleh digunakan untuk mendapat ilmu dan pengetahuan baru.


Lonely Planet adalah penerbit buku panduan pelancongan dan media digital terbesar di dunia, diasaskan pasangan suami isteri Tony Wheeler dan Maureen Wheeler pada 1972.


Mereka bertemu buat pertama kali di Regent’s Park, London dan setahun selepas itu berkahwin. Apabila memilih untuk berbulan madu, mereka sepakat mahu mencuba sesuatu yang berlainan.


Bermula di Eropah dan Asia seterusnya ke Australia dengan hanya berbekalkan wang ala kadar selain meminta belas kasihan orang ramai.


Akhirnya mereka mencapai misi walaupun terpaksa berdepan pelbagai halangan.


Ia satu pengalaman yang amat menakjubkan, malah ramai tidak percaya mereka mampu melakukan penjelajahan itu.


Akhirnya mereka bersetuju menulis buku mengenai pengalaman itu melalui buku pertama, “Across Asia on the Cheap” terbitan Lonely Planet dan dalam masa seminggu, 1,500 naskhah terjual.


Kewujudan Lonely Planet membuka mata ramai masyarakat yang mahu melancong, tetapi mempunyai wang yang terhad terutama pelancong backpacker.


Sehingga kini, mereka menerbitkan lebih 650 judul di 118 negara dengan jualan tahunan melebihi RM6 juta.


Lonely Planet melangkah ke hadapan dengan menerbitkan rancangan televisyen, Lonely Planet Six Degrees yang diacarakan Asha Gill, Lonely Planet: Road Less Travelled, The Sprt Traveller, Going Bush, Vintage New Zealand dan Bluelist Australia.


Malah, ia juga mempunyai laman web yang boleh diakses menerusi komputer atau aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Iphone dan Ipad selain majalahnya.


Selepas 30 tahun, mereka memberi kebenaran kepada BBC Worldwide untuk menguruskan Lonely Planet pada 2007.


Terdapat 500 panduan melancong meliputi 195 destinasi antaranya Malaysia, Thailand, Vietnam, Itali, Afganistan, Alaska, Antarctica, Brazil, Kanada, Qatar, Jordan, Turki, Maldives dan pelbagai lagi boleh didapati di Lonely Planet.


Layari laman web, lonelyplanet.com untuk maklumat lanjut.

Sumber: HMetro

No comments:

Post a Comment