Thursday, 15 March 2012

Persiapan melancong bersendirian,

Melancong sendiri. Biar Betul? Mungkin itulah antara kata-kata yang akan didengar jika anda memutuskan melancong ke destinasi idaman seorang diri. Bagi yang sudah biasa melancong sendirian atau cukup mahir dengan tempat yang dituju, ia pasti bukan satu masalah. Bagaimanapun, malang tidak berbau. 
Oleh itu, bagi yang merancang melancong sendirian, tip ini mungkin membantu anda.



  • Buat kajian 
    Jika merancang bercuti ke luar negara apatah lagi kunjungan pertama, ambil tahu mengenai tempat itu, bahasa, cuaca, keadaan semasa termasuk makanannya.

    Jika penduduk negara itu kurang fasih menggunakan bahasa Inggeris, cari jalan penyelesaian bagaimana berkomunikasi.


  • Buat salinan MyKad dan dokumen penting

    Walaupun dokumen penting di bawa ke mana saja anda pergi, salinannya seperti pasport, sim kad, kad kredit dan dokumen-dokumen penting perlu diselitkan di beg anda.

    Jika ada sebarang masalah seperti kecurian atau dompet tercicir, anda masih punya salinannya dan ia memudahkan anda membuat laporan kehilangan.

    Tinggalkan juga salinan dokumen penting anda kepada keluarga di rumah atau rakan supaya mereka dapat membantu bila diperlukan nanti.


  • Bawa duit secukupnya 

    Membawa wang tunai secukupnya penting dan tukar sebahagiannya kepada mata wang negara yang anda akan lawati.

    Hal ini boleh mengelak masalah yang mungkin timbul jika anda tidak dapat menukar wang di mana-mana bank atau kaunter tukaran mata wang asing. Bagaimanapun, jumlahnya jangan terlalu banyak.


  • Tinggalkan wang plastik anda

    Jangan terlalu banyak membawa kad kredit semasa melancong sendirian. Maksimum dua kad kredit mencukupi. Kehilangan kad kredit di luar negara sangat melecehkan kerana banyak urusan perlu anda lalui.

    Selain itu, ia boleh menyelamatkan ada daripada berbelanja sesuka hati sekali gus membuatkan kehabisan wang belanja selepas balik daripada bercuti. Ia pasti mengundang tekanan bukan?


  • Kemas barang dengan cermat

    Ketahui tradisi dan budaya tempat yang akan dituju supaya anda boleh merancang apa yang perlu dibawa ketika bercuti. Walaupun sebagai pelancong, hormati tradisi setempat serta tidak memakai pakaian terlalu menjolok mata.

    Ini sekaligus menghindar daripada pandangan yang tidak menyenangkan sekali gus mengelak masalah.


  • Ambil insurans perjalanan

    Ada yang melancong tidak mengambil insurans perjalanan kerana menganggap ia tidak perlu. Bagaimanapun, ia sangat bermanfaat kepada anda yang bercuti sendirian terutama apabila anda terpaksa mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

    Dengan tukaran mata wang yang mungkin mahal dari negara sendiri, anda boleh menjimatkan kos perubatan dengan adanya perlindungan insurans perjalanan.


  • Tinggalkan jejak

    Sebagai pelancong yang akan mengembara seorang diri, anda pasti merangka perjalanan anda sepanjang bercuti.

    Oleh itu, sebelum berangkat, berikan salinan jadual perjalanan anda kepada keluarga atau rakan bagi memudahkan mereka mencari anda jika sebarang masalah berlaku.

    Hal ini juga perlu terutama jika anda bercuti di negara atau tempat yang berlaku konflik atau keadaan cuaca yang teruk.


  • Berdandan seringkasnya

    Saat melancong bersendirian, tidak perlu memakai pakaian yang terlalu bergaya seperti mahu ke temu janji atau berjalan di pusat membeli-belah.

    Hanya mengenakan pakaian yang ringkas seperti kemeja-T, kardigan, skaf, jaket dan seluar yang ringkas dan selesa sudah memadai melainkan ketika musim sejuk.

    Paling penting, jangan memakai pakaian yang terlalu menjolok mata serta mengenakan perhiasan yang berlebihan. Hal itu hanya akan menarik perhatian mereka yang berniat jahat.


  • Jaga pergaulan

    Bergaul dengan penduduk setempat atau sesama pelancong adalah sesuatu yang baik. Namun, berhati-hati. Jangan sampai anda hanyut dalam suasana atau menerima minuman serta apa saja yang boleh membuatkan anda tidak sedar diri lalu panik selepas menyedari sesuatu sudah berlaku terhadap diri anda.


  • Sumber: HMetro

    Oleh Suliati Asri
    suliati@hmetro.com.my 

    No comments:

    Post a Comment